Perutusan Kemerdekaan ke 56 Presiden PAS

بسم الله الرحمن الرحيم

Setelah kejatuhan Kerajaan Uthmaniyyah pada 3 Mac 1924, umat Islam berhadapan dengan cabaran baru yang amat hebat. Umat Islam diserang dan dikepung dari kiri dan kanan, utara dan selatan. Sempadan geografi negara umat Islam dipecah-pecahkan, negara di bahagi-bahagikan, khazanah negara pula dijadikan hasil mahsul para penjajah, manakala rakyat pula berdepan dengan masalah baru yang mengepung mereka di setiap masa.

Di saat inilah pihak yang bermusuh dengan Islam merencana pendekatan baru bagi mengawal pemikiran umat Islam supaya selari dengan perencanaan mereka walaupun secara fizikalnya para penjajah ini telah meninggalkan bumi mereka berpijak. Senjata ini dikenali sebagai senjata pemikiran yang lebih halus dan memberi kesan jangka masa yang amat panjang.

Ketika inilah diwujudkan barangan dengan jenama baru – islam suku agama suku, politik adalah berpisah dari agama, islam tanpa negara, negara tanpa politik, negara tanpa syariat, dan sebagainya. Ditanam proksi-proksi mereka di serata negara umat Islam dan diberi mandat memerintah dengan mudah. Kemudian diberikan kemerdekaan bersyarat, wajib mengikut dan melaksanakan segala yang ditetapkan oleh mereka.

Setelah penjajahan pemikiran berlangsung beberapa dekat, manusia mula terasa bahang seksa dan mula mencari solusi. Ramai yang membicarakan topik keadilan dan kesejahteraan tetapi masih teraba-raba faktor utama bencana tersebut. Sedangkan dalam satu hadith riwayat Tabarani, Nabi SAW telah mengingatkan tentang bahana sekularisasi;

“Sesungguhnya (di zaman pemisahan Islam dan pemerintahan) pemimpin-pemimpin kamu hanya bekerja untuk diri mereka bukan untuk diri kamu. Jika lawan kamu akan dibunuh. Jika taat kamu akan sesat”

Inilah realiti yang berlaku serata dunia umat Islam. Penindasan dan penafian hak berpunca dari ideologi yang berperanan sebagai berhala moden. Kegagalan manusia untuk berlaku adil adalah kerana mereka tidak hidup beracuan wahyu.

Sedarlah kita, misi yang amat berat masih terpundak di bahu-bahu kita. Memerdekakan negara dari penjajah seterusnya memerdekakan jiwa manusia dari penjajahan pemikiran. Konflik yang berlaku di rantau Asia Barat adalah antara siri-siri perjalanan umat membebaskan diri mereka dari ajaran pemisahan antara manusia dan Tuhan. Malangnya kini, umat Islam yang dibunuh tetapi umat Islam yang dituduh sebagai pengganas. Mereka dikhianati oleh demokrasi sendiri, kemudian dituduh sebagai pengkhianat. Darah mereka sebagai modal kemenangan Islam kelak.

HADI-AWESempena Sambutan Menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia, marilah kita menyatakan ikrar kesungguhan membebaskan diri dari belenggu penjajahan minda yang masih berlangsung. Perjuangan kita belum tamat. Selagi wujud kuasa yang menafikan Islam sebagai solusi, selagi itulah penindasan tetap akan berlaku.

Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang
Presiden PAS