Kenaikan Harga Petrol sebagai Petanda Awal Budget 2014 Tidak Mesra Rakyat

Pusat Penyelidikan PAS (PPP) melihat bahawa kenaikan harga Petrol RON 95 dan Diesel sebanyak RM.020 bermula hari ini adalah petanda awal Budget 2014 yang akan dibentang bulan Oktober nanti sebagai tidak bersifat mesra rakyat. Berbanding dengan budget tahun-tahun sebelum ini yang dilihat sebagai budget mesra rakyat atau lebih tepat mesra pengundi, Budget 2014 yang bakal dibentangkan akan mula melaksanakan beberapa dasar kerajaan yang tertangguh sebelum ini iaitu rasionalisasi subsidi dan reformasi percukaian. Pelaksanaan tersebut meliputi pemotongan subsidi barangan petroleum, pengurangan perbelanjaan kepada sektor pendidikan dan kesihatan, kenaikan tarif elektrik dan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Kerajaan pentadbiran Dato’ Sri Mohammad Najib Tun Abdul Razak dilihat terpaksa mengambil langkah ini, ketika desas-desus yang kuat menyebut Malaysia mungkin akan menarik diri dari menandatangani Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA). Dato’ Sri Najib telah diasak dari dalam dan luar UMNO untuk tidak menandatangani perjanjian tersebut yang dianggapkan oleh mereka akan memberi ancaman kepada ekonomi negara khususnya ekonomi kaum Melayu. PPP berkeyakinan, sebelum ini pentadbiran Dato’ Sri Najib melihat perlaksanaan TPPA sebagai pilihan alternatif untuk mengurangkan beban hutang dan perbelanjaan kerajaan, sekaligus mengurangkan defisit budget yang telah berlanjutan lebih satu dekad yang lalu.

Dengan perkembangan ekonomi Malaysia yang agak beku disebabkan ketiadaan sumber-sumber pendapatan baru, kerajaan pentadbiran Dato Sri Najib hanya mempunyai dua pilihan utama, iaitu meneruskan dasar-dasar yang telah digariskan oleh jawatankuasa PEMANDU yang diketuai oleh Dato’ Sri Idris Jala atau menerokai pasaran dan kemasukan modal asing melalui TPPA. Berdasarkan beberapa perkembangan sebelum ini, PPP menjangkakan kerajaan pentadbiran Dato’ Sri Najib akan memilih untuk menandatangani TPPA yang pada perkiraan beliau akan memberi manfaat kepada lebih ramai rakyat disamping akan meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), sesuai dengan matlamat menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi.

Bagaimanapun, perlaksanaan TPPA telah mendapat tentangan kuat dari dalam dan luar UMNO termasuk daripada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad. PPP percaya tentangan tersebut telah memberi kesan besar terhadap kedudukan Dato Sri Najib dalam UMNO sendiri, serta menggugat kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri setelah prestasi buruk BN dalam PRU ke-13 lalu. Dato’ Sri Najib akan melalui satu lagi episod getir pada hujung tahun ini, iaitu pemilihan pimpinan baru UMNO. Kesemua situasi ini menyebabkan Dato’ Sri Najib berkemungkinan akan mengambil langkah menarik diri dari menandatangani TPPA, justeru beliau terpaksa memikirkan semula cadangan-cadangan yang telah dikemukakan oleh jawatankuasa PEMANDU yang meliputi rasionalisasi subsidi dan reformasi percukaian.

Prestasi ekonomi semasa tidak memberi pilihan yang banyak kepada pentadbiran Dato’ Sri Najib dengan ramalan yang kuat berlakunya kemuncupan ekonomi China dan situasi tidak menentu yang berterusan di Timur Tengah. Perubahan yang berlaku kepada kedua-dua wilayah ekonomi ini akan memberi kesan langsung kepada ekonomi Malaysia. Pada ketika yang sama, tiada perkembangan yang begitu menggalakkan daripada prestasi ekonomi ASEAN sejak krisis ekonomi negara-negara anggota pada tahun 1997 dan malah tiada juga perkembangan yang diharapkan selepas pelaksanaan AFTA. Dengan hutang kerajaan yang kian meningkat dan hutang isi rumah begitu membimbangkan, PPP melihat ekonomi Malaysia semakin menuju ketidakstabilan.

Dr Mohd Zuhdi MarzukiBerdasarkan realiti tersebut, PPP menjangkakan pelaksanaan budget dan lain-lain dasar yang tidak mesra rakyat akan berlanjutan sehingga 2015, menyaksikan lebih banyak subsidi yang akan dipotong dalam usaha mengurang perbelanjaan kerajaan. Pada ketika yang sama, PPP menjangkakan GST akan mula dilaksanakan secara beransur-ansur dengan mengecualikan beberapa barangan dan perkhidmatan tertentu. Golongan yang begitu terkesan dengan budget lain-lain dasar yang tidak mesra rakyat ini adalah golongan pertengahan terutama golongan pertengahan rendah (lower middle class). Manakala dari segi wilayah pula, golongan yang paling terkesan dengan pelaksanaan seperti ini ialah penduduk bandar dan pinggiran bandar.

Dr Mohd Zuhdi Marzuki
Pengarah (Operasi)
Pusat Penyelidikan PAS (PPP)